Recent Posts

assalamualaikum sahabat2 group a skalian..

ape kabo smue??


ni cm udah berabuk beno je blog ni..
meh awok nk kasi beresih skit..
idok le nampok buruk bebeno..
hehehe
bahase perok plak awok ek..

ok.. maleh la cakap bnyok..
nnti maleh nk dengo plak.. bace je la ye.. =)

Hidup ini adalah ibarat sebuah pelayaran, Di dalam pelayaran pastinya akan mengalami situasi yang menggembirakan, mencemaskan, membahagiakan, menakutkan,menyedihkan dan pelbagai lagi. Namun anda sudah pasti tidak akan berhenti selagi tidak sampai ke destinasi yang dituju.

Ketika sesi berforum dalam program Simposium Kecemerlangan Cinta Dan Akademik (STAND) di USM P.Pinang, seorang peserta bertanyakan bagaimanakah cara terbaik mengimbangkan masa di antara keaktifan berdakwah di kampus dan dalam masa yang sama memperoleh keputusan yang cemerlang dalam akademik. Mengapa terdapat pelajar yang aktif dengan dakwah kampus namun beroleh keputusan peperiksaan yang rendah dan tidak cemerlang?

Pertamanya, kita perlu bertanya, benarkan terjadi sedemikian? Jika benar berapa peratuskah atau berapa ramai mahasiswa yang aktif dengan dakwah ini tidak cemerlang dalam belajar? Sebenarnya tidak ramai yang sedia mengorbankan masanya dengan dakwah kampus. Yang ramai adalah mahasiswa biasa yang menghabiskan masa dengan perkara-perkara kecil dan kerdil seperti melepak, bercanda, bercinta dan sebagainya. Yang ramai di kampus juga adalah mahasiswa yang hanya tertumpu di ruang legar akademik sehingga mengabaikan hak umat ke atas dirinya. Bagi mereka, dakwah tiada kaitan dengan kehidupan mereka sebagai mahasiswa. Setahu penulis, rakan-rakan penulis yang aktif dengan dakwah kampus, mereka ini terdiri dari kalangan pelajar yang cemerlang. Hari ini ramai kalangan mereka berjaya menjadi profesional da’i dan para ustaz ustazah da’i.

Berbalik kepada persoalan di atas, hanya segelintir sahaja aktivis dakwah yang terkadang Allah uji dirinya dengan kehilangan fokus dalam pelajaran. Mungkin kerana ada beberapa sebab terjadi sedemikian, antaranya ketidakjelasan matlamat mengapa kita terlibat dengan organisasi dakwah kampus, pengabaian disiplin masa dan belajar, gagal memahami konsep ”Alim Mujahid” dan Tarbiyah Dzatiyah yang longgar.

Ketidakjelasan Matlamat

Sebagai mahasiswa tugas dan peranan utama kita adalah belajar dan meletakkan diri kita di kalangan yang terbaik. Manakala tugas dakwah adalah tugas hakiki kita sebagai hamba kepada Allah SWT. Tiada pemisahan di antara belajar dan dakwah. Untuk menjadi hamba Allah SWT., seseorang perlu cemerlang dalam menuntut ilmu, cemerlang dalam ibadah, cemerlang dalam dakwah, cemerlang dalam akhlak dan cemerlang dalam tarbiyah imaniyah. Tiada pemisahan di antara kesemuanya.

Adakah anda kenal dengan Imam Hasan Al Banna, beliau seorang tokoh gerakan Islam yang hebat kurun ke 21. Pada saat beliau masih mahasiwa, beliau amat aktif dengan kegiatan dakwah kampus dan masyarakat, dan dalam masa yang sama cemerlang akademiknya, terkenal dengan keperibadian yang mulia.

Dalam kitab Ahdats Shana’at-Tarikh Imam Al Banna bercerita:
Di malam saat ada ujian peperiksaan, beliau melakukan solat tahajjud seperti biasanya, dan memohon serta mengadu kepada Allah SWT. Dalam doanya beliau berkata: “Ya Allah! Sesungguhnya Engkau tahu betapa rindunya diriku kepada ilmu dan betapa cintaku kepada-Mu, tapi Engkau juga tahu betapa sibuknya diriku dalam mencari ma’isyah untuk mempertahankan hidup di kota ini, berilah jalan keluar bagiku”.

Ternyata Hasan Al Banna memiliki hubungan yang cukup intim dengan Allah SWT dalam memohon kekuatan. Tahajjud dan doa adalah amal rutin beliau. Kecintaan beliau terhadap ilmu amat tinggi. Jiwa beliau sentiasa bergelora dengan perjuangan dakwah Islamiyyah. Bagaimana dengan kita?

Kecintaan beliau dengan dunia keilmuan dan keghairahan beliau membawa obor dakwah tidak ada pemisahan malahan keduanya adalah sedaging. Ramai ulama thiqah kepada beliau dan menghormati beliau, baik muda mahupun lebih tua dari beliau.

Ketika ujian kelulusan dari Darul ‘Ulum, semasa ujian lisan, beliau membawa buku-buku syair kegemarannya. Salah satu dari dua orang penemuduga bertanya tentang apa yang dihafalnya dari syair-syair itu. Al Banna menjawab: “Semuanya aku hafal”. Yang satunya lagi bertanya: “Bait mana yang paling engkau senangi dari syair-syair itu? Al Banna mengatakan: “Bait Syair yang diucapkan oleh Thorfah bin Al ‘Abd, salah seorang penyair di zaman jahiliyyah.

إِذَا الْقَوْمُ قَالُوْا مَنْ فَتَى؟ خِلْتُ أَنَّنِيْ عُنِيْتُ فَلَمْ أَكْسَلْ وَلَمْ أَتَبَلَّدِ

Bila orang bertanya : “Siapa pemuda? Saya membayangkan akulah yang dimaksud, kerananya saya tidak bermalas-malas dan tidak membodohi diri.

Mendengar jawaban itu, penemuduga itu mengatakan: “Wahai anakku, dengan demikian aku nyatakan engkau lulus dari Darul ‘Ulum, dan yang memiliki jawaban seperti ini hanya engkau dan Ustaz Muhammad Abduh. Aku melihat bahawa engkau akan memiliki masa depan yang gemilang”.

Begitulah tingginya kejelasan matlamat Al Banna, mencontohkan kepada kita di antara kesungguhan menguasai ilmu dan keghairahan beliau dengan kerja besar, ”dakwah dan tarbiyah”. Bukankah beliau yang mengasaskan gerakan tarbiyah dan dakwah terbesar pada abad ini? Dakwah beliau di sambut oleh segenap manusia yang bertemu dengannya, baik yang berpelajaran tinggi, bergelar ulama atau profesional dalam pelbagai bidang, mahupun kelompok marhaen biasa.

Justeru luruskan kembali kefahaman kita tentang tanggungjawab sebagai pendakwah muda dan tanggungjawab sebagai mahasiswa rabbani. Firman Allah SWT:

“Dan bertaqwalah kamu kepada Allah nescaya Allah akan mengajar kamu. Dan Allah itu Maha Berilmu terhadap segala sesuatu” [Al-Baqarah 2: 282]

Bangkit Dari Kesilapan

Kepada sababat dan akhwat yang diuji oleh Allah SWT dengan kelesuan akademik kerana kesibukan dengan dakwah kampus, anda harus segera memperbetulkan keseimbangan kehidupan anda. Masih belum terlambat untuk membangunkan kembali motivasi belajar anda. Ayuh, mari mulakan dengan langkah positif, langkah orang-orang yang hebat dan luarbiasa. Sejarah orang yang hebat dan luar biasa bermula dengan bangkit dari kelemahan dan kesilapan. Jangan persoal dan bimbang sebesar mana masalah dan kegagalan yang sedang anda hadapi, sebaliknya yang perlu kita bimbangkan, sudahkah kita bangkit dari ujian tersebut. Kata-kata hikmah ada berbunyi:

” Kita tidak upaya mengubah keadaan, tetapi kita mampu mengubah sikap kita menghadapinya. Kita tidak upaya mengubah arah angin, tetapi kita mampu mengubah arah sayap kita”

Aktif dalam berpersatuan tidak salah. Yang silapnya adalah bagaimana kita mengurus diri kita. Kepada yang aktif dengan dakwah kampus, anda telah berjaya membangunkan potensi diri ada dari seorang mahasiswa biasa kepada mahasiswa berjiwa pemimpin. Di atas pundak bahu anda sudah terpikul ”kerja tambah”, memastikan anda cemerlang akademik dan dalam masa yang sama memikul mas’uliyyah (tanggungjawab) kepimpinan mahasiswa. Bertambah besar lagi tugas anda, sekiranya keaktifan anda dengan organisasi kampus adalah dalam rangka melaksanakan tanggungjawab dakwah ilallah. Namun awas, jangan jadikan alasan demi dakwah Islam, maka akademik kita korbankan. Itu adalah pandangan songsang dan terkebelakang.

Momentum Keimanan

Kita perlu bijak mengurus diri dan masa kita. Persoalannya, bagaimana kita perlu mengurusi diri kita agar study terbela, dakwah kampus terlaksana, tarbiyah merentasi masa.

Langkah pertama, memperbaharui kembali tekad dan momentum keimanan. Kekuatan keimanan membuatkan kita memiliki harga diri, perasaan bermaruah sehingga kita tidak rela mengaku kalah di hadapan nafsu yang suka melihat kita berputus asa, berselingkuh dengan jalan-jalan kegagalan dan kefuturan. Keimanan yang terbina pasti tidak mahu tunduk kepada bisikan syaitan yang terkadang muncul sebagai juru nasihat.

Penulis masih ingat, walaupun kami aktif dengan dakwah kampus, namun dalam halaqah atau pertemuan bersama murabbi, kami diperingatkan agar sentiasa fokus dengan disiplin ilmu. Disiplin ilmu ialah menguasai ilmu dan cemerlang dalam peperiksaan. Dalam dakwah, kita bukan sekadar mencontohkan peribadi dan akhlak sebagai mahasiswa rabbani, bahkan kecemerlangan akademik adalah juga merupakan unsur penting dalam qudwah berdakwah. Akademik kita adalah termasuk dalam qudwah peribadi mahasiswa rabbani, tiada pemisahan.

Iman kita perlu berfungsi sebagai pencetus kecemerlangan kita dalam setiap bidang yang kita ceburi. Sesungguhnya kekuatan keimanan akan mampu memberikan kita kesabaran lebih panjang, memberikan stamina perjuangan lebih lama, menggugah semangat jihad menjadi lebih membara, melahirkan thabat dan keteguhan hati menjadi lebih sempurna sehingga akhirnya membangkitkan rasa percaya diri yang tinggi. Mendorong kita untuk bangkit kembali kerana Islam memerlukan cerdik pandai dan kebijakan kepimpinan, justeru wahai mahasiswa, kuncinya adalah kepada kebangkitan kekuatan dalaman, kekuatan spiritual, kekuatan keimanan kita dan keyakinan kita kepada janji Allah swt. Firman Allah SWT yang bermaksud:

“Jika kalian menolong (agama) Allah, maka Allah pasti akan menolong kalian dan mengukuhkan pijakan kalian”. (QS Muhammad : 7

Semoga kita semakin jelas dalam tindakan dan penglibatan kita sebagai anggota duah dalam organisasi dakwah. Sekiranya kita meneliti 10 Ciri Peribadi Mukmin yang kita jadikan sebagai panduan membangun 10 muwasafat tarbiyah pemuda pemudi Islam, kita akan mendapati Al Banna telah meletakkan beberapa kriteria utama untuk kita jadikan panduan sebagai mahasiswa yang bijak dan pandai mengurus kehidupan kampusnya, diantaranya adalah keupayaan mengurus waktu (Haarithun ala Waqtihi), tersusun dalam urusan (Munazzamun fi syu’unihi), fikiran yang berpengetahuan (Mutsaqqafal Fikri), mampu berusaha (Qadiran ala Kasbi), mampu melawan nafsu (Mujahadah ala Nafsi) dan bermanfaat untuk orang lain (Nafi’un li ghairihi).

Mulakan perubahan atas desakan Iman, dan jangan malu untuk memperbetulkan langkah semangat kita pada paksinya yang sebenar. Iman adalah kekuatan yang menggerakkan setiap mukmin. Iman yang menghadirkan kemenangan pasti akan melonjakan kita untuk sentiasa berfikir dan berfikir untuk bekerja dan bekerja, merangka strategi untuk cemerlang akademik, kebijakan dalam berdakwah dan sentiasa istiqamah dengan program tarbiyah.

“ Sesungguhnya kami Telah menciptakan manusia dalam bentuk yang sebaik-baiknya. Kemudian kami kembalikan dia ke tempat yang serendah-rendahnya (neraka), Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh; Maka bagi mereka pahala yang tiada putus-putusnya.” ( At-Tiin: 4-6)

diimporti dari langitilahi.com =)


Posted by hakim.muslim Thursday, April 7, 2011

0 comments

Post a Comment

COMRADES

Popular Posts


ShoutMix chat widget

Labels